Sabtu, 28 November 2009

Pembuangan Bayi...Salah siapa?

http://www.jais.gov.my/index.php?option=com_content&task=view&id=741&Itemid=1

DEFINISI PEMBUANGAN BAYI

   
     Mengikut kajian, jenayah pembuangan bayi terjadi akibat daripada amalan seks bebas sebelum berkahwin, terlanjur dalam hubungan cinta dan institusi keluarga yang bermasalah. Mereka yang terlibat terpaksa membuang bayi akibat terdesak, malu, takut, dan kesan yang bakal mereka tanggung.


ISU PEMBUANGAN BAYI
    
     Ada yang menangis mengenangkan nasib ciptaan Allah ini yang tidak dipandang dan dicampak merata-rata seolah-olah ianya sesuatu yang Allah ciptakan tanpa nyawa. Padahal ianya adalah ciptaan Allah yang suci dari sebarang dosa tetapi dilahirkan daripada dosa insan yang bernafsukan syaitan.

          Inilah yang telah berlaku pada masyarakat kita pada masakini. Maksiat dan aktiviti seksual yang bebas berlaku dimana-mana. Anak-anak remaja kini terutamanya remaja Melayu yang beragama Islam tidak mengenal dosa atau pahala. Malah ada diantara mereka yang mempunyai pendidikan yang tinggi dan belajar di IPT-IPT yang memberikan pendidikan yang baik. Semua yang dilakukan hanya untuk memuaskan diri sendiri tetapi tidak memikirkan apa yang dilakukan hanya mendatangkan dosa. Dari perbuatan dosa inilah yang melahirkan satu janin yang lahir bukan dari kehendak mereka tetapi dari nafsu serakah mereka yang mementingkan diri sendiri.
          Hampir setiap minggu kita mendengar dari televisyen, akhbar dan majalah tentang kes pembuangan bayi dan kebanyakannya yang ditemui mati dalam keadaan yang menyedihkan dan ada yang bernasib baik ditemui dalam keadaan masih hidup. Tong sampah, tempat pembuangan sampah, lubang tandas, tempat awam seperti masjid dan tandas awam dan sebagainya menjadi tempat dimana bayi-bayi malang ini ditemui.
         Apakah kita ini ingin digelar masyarakat yang tidak bertamadun dan tidak berperikemanusiaan sepertimana yang terjadi di zaman jahiliyah sebelum kedatangan Islam. Kanak-kanak terutamanya perempuan dibunuh dan ditanam hidup-hidup untuk menutup malu dan hanya untuk mempertahankan maruah keluarga. Tetapi lihatlah apa yang telah terjadi pada zaman sekarang. Kanak-kanak juga dilayan sebegitu tanpa rasa belas kasihan dan dibuang merata-rata demi untuk menutup malu dan menjaga maruah orang yang melakukannya.
          Kes pembuangan bayi semakin meningkat dari hari ke hari. Telah banyak usaha kerajaan untuk membasmi gejala ini. Kempen, pertunjukan, denda seperti penjara 20 tahun kepada sesiapa yang didapati bersalah melakukan jenayah ini juga telah dijalankan, namun usaha ini tidak menampakkan hasil malah ianya semakin menjadi-jadi sehingga tidak dapat di bendung lagi
          Islam dan agama utama di Malaysia yang lain sangat mengharamkan dan menegah pengguguran dan pembuangan bayi di kalangan masyarakat. Ianya boleh dianggap satu dosa yang besar kerana membunuh dengan niat. Sebagaimana yang telah disebut dalam Al-Quran surah An-Nisa' ayat 93:
Maksudnya:
"Dan sesiapa yang membunuh mukmin dengan sengaja maka balasannya neraka jahanam, kekal dia didalamnya dan Allah murka kepadanya dan melaknat akannya serta menyediakan baginya azab seksa yang besar".
            Namun apakah faktor yang menyebabkan berlakunya gejala seperti ini? Ada yang berpendapat ianya bermula dari rumah lagi. Mungkinkah didikan agama dari ibu bapa yang kurang terhadap anak-anak mereka atau terlebih didikan? Tetapi ibu bapa tidak boleh dipersalahkan seratus peratus dalam hal ini. Ini kerana ada diantara ibu bapa yang memberi didikan agama yang sempurna kepada anak mereka tetapi apabila meningkat dewasa dan anak-anak membawa haluan mereka sendiri, segala ajaran ibu bapa akan dilupakan sedikit demi sedikit. Maka anak-anak mula bertindak liar tanpa pengawasan ibu bapa.
        
            Mungkin juga ianya berpunca dari kemajuan teknologi dan media cetak dan elektronik pada zaman sekarang yang banyak memberi pendedahan seks dan bahan yang tidak berfaedah kepada remaja. Penayangan filem berunsur seks oleh media elektronik, penyebaran VCD dan gambar lucah didalam internet juga menjadi punca yang turut mendorong seseorang terjebak ke lembah kezinaan yang membawa kepada lahirnya anak luar nikah disamping berleluasanya program-program hiburan yang melampau dalam masyarakat. Namun semuanya datang dari diri remaja itu sendiri samada mereka ingin memilih jalan yang betul atau tidak. Ini kerana diri sendiri sahaja yang mampu megubah segalanya.
     
          Oleh itu, sesungguhnya gejala seperti ini tidak akan ada penghujungnya sekiranya tiada kesedaran di kalangan masyarakat untuk mengubah sikap mereka. Ini kerana gejala pembuangan bayi ini adalah satu kesalahan yang amat kejam dan lebih kejam lagi dari perbuatan haiwan. Sedangkan haiwan juga mempunyai perasaan kasih sayang terhadap anak-anaknya sehingga sanggup mati demi anak. Sepertimana firman Allah dalam surah Al-A'araf ayat 179:
Maksudnya:
"Sesungguhnya kami jadikan untuk isi neraka jahanam kebanyakkannya daripada jin dan manusia,mereka mempunyai hati (tetapi) tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat allah), mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakan untuk melihat (bukti keesaan allah) dan mereka mempunyai telinga(tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ajaran dan nasihat). Mereka itu seperti binatang ternakan,bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang yang lalai".

CARA MENGATASI:

        Maksiat merajalela hasil dari penerpan sistem sekular, kes-kes zina, kelakuan bebas, judi dan arak sudah menjadi lumrah. Pergaulan bebas hanya di pandang enteng oleh Negara dan tidak ada uqubat (hukuman) dari negara ke atas pelaku-pelaku maksiat tersebut. Namun jika benar-benar sistem Islam diterapkan nescaya kejadian yang parah ini pastinya dapat dibendung dari awal. Ini kerana di dalam kehidupan sosial, Islam telah menentukan sistem perkahwinan, batas-batas pergaulan antara lelaki dan wanita, batasan aurat bagi lelaki dan wanita, bentuk pakaian wanita Muslimah, cara memandang wanita dan sebagainya yang mana ia akan mencegah pelbagai punca kepada pintu penyimpangan seksual yang mengakibatkan kerosakan akhlak dan lain-lain. Islam memandang masyarakat sebagai kumpulan individu yang memiliki pemikiran dan perasaan yang sama, serta interaksi di antara mereka perlu diatur oleh suatu aturan (nizham) yang tertentu.
Dalam mengatur hubungan antara lelaki dan perempuan, Islam telah meletakkan beberapa ketetapan seperti:

(1) Islam telah memerintahkan kepada manusia, baik lelaki dan wanita untuk menundukkan pandangan [An-Nur (24):30-31];

(2) Islam memerintahkan kepada wanita untuk mengenakan pakaian secara sempurna, tudung dan jilbab, iaitu pakaian yang menutup seluruh tubuhnya, kecuali wajah dan kedua telapak tangannya [An Nur (24):31] dan [Al-Ahzab (33):59];


(3) Rasulullah bersabda, "Tidak dibolehkan seorang wanita yang beriman kepada Allah Subhanahu wa Ta'ala dan hari akhirat untuk melakukan perjalanan selama sehari semalam, kecuali jika disertai mahramnya." [HR. Bukhari dan Muslim].


(4) Rasulullah juga bersabda, "Tidak diperbolehkan seorang lelaki dan seorang wanita berkhalwat, kecuali jika wanita itu disertai mahramnya" [HR. Muslim]


(5) Islam melarang wanita untuk keluar rumahnya kecuali dengan izin suaminya;


(6) Islam sangat menjaga agar dalam kehidupan khusus hendaknya jamaah (komuniti) kaum wanita terpisah dari jamaah (komuniti) kaum lelaki;


(7) Islam sangat menjaga agar hubugan kerjasama antara lelaki dan wanita hendaknya bersifat umum dalam masalah muamalah; bukan hubungan yang bersifat khusus seperti saling mengunjungi antara wanita dengan lelaki yang bukan mahramnya atau berjalan-jalan bersama;


(8) Islam mengambil berat dalam memelihara keturunan dan nasab. Bahkan Islam menentukan hukuman rejam bagi penzina Muhsan (sudah berkahwin);


(9) Islam menetapkan bahawa penzina bukan Muhsan dihukum 100 kali sebatan [an-Nur (24):2].


        Oleh yang demikian, dalam perlaksanaan sistem yang dianjurkan oleh Islam, tanggungjawab untuk memastikan ketetapan-ketetapan yang telah digariskan oleh Islam terletak ditangan setiap ahli masyarakat dan juga negara. Masyarakat wajib mengubah kemungkaran yang dilihatnya, manakala Negara pula adalah satu institusi pelaksana (qiyan tanfizi) yang penting, yang mana Negaralah yang akan menghukum (uqubat) setiap orang yang melanggar hukum Allah.

      Semua pihak harus berganding bahu menangani gejala sosial ini dan yang terpenting ialah institusi keluarga itu sendiri. Ramai anak muda yang bermasalah lahir dari institusi keluarga yang ibu bapanya porak peranda, bercerai berai dan asyik bersengketa. Ambillah yang jernih buanglah yang keruh. Tingkatkan ilmu agama dan didiklah anak-anak muda dengan ilmu agama dan kasih sayang yang sepenuhnya. Luangkan masa untuk mendengar masalah. Insya Allah, akan lahirlah rumahku syurgaku....Insya Allah teruskan berdoa semoga kita terus ditetapkan iman dan diberkati Allah selalu.

0 Ulasan:

Catat Ulasan

Langgan Catat Ulasan [Atom]

<< Laman utama